Saturday, June 11, 2011

tinta ke dua

Salam para pembaca sekalian. Agak lama aku menyepikan jari ini daripada menyentuh papan kekunci melakar kisah harianku. Rasanya hampir dua minggu. Agak sibuk dengan rutin harian sebagai Arkitek Landskap di Utara tanah air kadangkala membuatkan aku terlupa untuk berehat apatah lagi menaip. Dua minggu ini sempat jugak aku siapkan beberapa projek seperti kolam ikan koi dan tanaman di kawasan perumahan sekitar Jitra dan Alor Setar. Alhamdulillah.. bukan ganjaran berupa wang yang aku tagih, tetapi pengalaman yang aku pasti tiada galang gantinya. Tambahan pula bagi seorang hawa seperti aku, sudah pasti tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk digalas. Namun aku tekad menggendong amanah yang diberi dengan sepenuh hati.

InsyaAllah, bukan ingin sekadar bermimpi, aku kini sedang mengatur langkah untuk meramaikan jumlah usahawan Bumiputera di tanah bertuah ini. Berdikit-dikit projek telah aku kumpul, seterusnya aku selamat mendaftarkan syarikat pada minggu lepas. Dengan ini, lebih mudah untuk aku berurusan dengan pelbagai pihak terutama dari para pelanggan yang mewakili syarikat selain daripada orang perseorangan.

Sepanjang aku berkhidmat dengan syarikat pembekal tanaman dan kontraktor landskap, pelbagai ilmu yang sempat aku pelajari. Maklumlah, aku akui walaupun memegang Ijazah dalam bidang yang aku ceburi sekarang, masih banyak yang perlu aku ketahui bukan hanya sekadar teori, tetapi juga praktikal. Ilmu berniaga juga tidak terdapat dalam sukatan pelajaran aku selama 4 tahun di universiti. Jadi aku gunakan sepenuhnya peluang ini untuk merangkul sebanyak mungkin ilmu terutamanya selok belok perniagaan contohnya bagaimana untuk mengendalikan sesuatu projek dari awal hingga akhir.

Bermacam rasa, pelbagai emosi ingin aku ceritakan di ruang nukilanku ini, tapi mata aku rasakan berat untuk terus bersengkang. Aku tamatkan tinta ke duaku dengan lampiran contoh hasil kerja. Terima kasih. Salam..

Berikut antara hasil daripada kerja tangan tukang di tempat aku bekerja. Mudah bekerja dengan mereka, apa yang terlakar di atas kertas tepat dizahirkan di tapak :

Monday, May 23, 2011

Tinta Pertama

Salam perkenalan kepada anda. Sebelum aku memulakan karangan, izinkan aku perkenalkan diri. Nama Intan Shuhada Azmi, tak ada yang istimewa tentang latar belakangku. Aku cuma sabahagian dari mereka-mereka yang rata-rata punyai misi tersendiri dalam menjalani kehidupan yang telah diaturkan. Tidak bertujuan mengklasifikasikan kedudukan diri aku dalam masyarakat, aku hanyalah seorang pemikir biasa yang gemar menjadi pemerhati dan pengkaji tak bertauliah.

Oleh kerana minat aku yang mendalam terhadap seni tampak sejak kecil, sebagai tinta pertama aku, biarlah aku coretkan serba sedikit tentang sejarah ataupun bermulanya salah satu cabang seni tampak iaitu Seni Abstrak. Ini adalah sebahagian berdasarkan daripada pemahaman aku sendiri bersumberkan bahan bacaan dan rujukan sebelum ini.

Secara teori historikalnya, bermulanya Seni Abstrak ketika zaman purbakala lagi. Manusia di zaman batu yang diketahui mendiami gua-gua cenderung menjadikan dinding gua sebagai kanvas ilham pada mulanya sebagai catatan bagi sesuatu peristiwa ataupun menggambarkan tentang kegiatan biasa mereka di zaman tersebut. Maka berderetlah imej-imej binatang, tumbuhan, orang-orangan yang secara ilmiahnya tidak 100% menunjukkan bentuk asal yang ingin ditampilkan. Imej yang dihasilkan lebih mudah dan telus yang rata-ratanya dapat difahami bagi sesiapa yang melihat. Dari situ juga kita di zaman kini dapat mengetahui dan memahami akan peredaran dan kebiasaan mereka di zaman dahulu.

Bermula dari kebiasaan untuk mencatatkan sesuatu peristiwa, habitual melukis dan ada satu ketika menggunakan teknik meletakkan tapak tangan di dinding sebelum menyembur dengan kunyahan daun , kulit-kulit kayu dan batu berwarna mula menjadi satu perbuatan yang digemari dan wujudlah golongan yang diiktiraf sebagai 'pakar' melukis dinding di kalangan penghuni gua. Nilai estetika mula diterapkan dalam penghasilan lukisan dinding apabila pelbagai imej tambahan dengan terknik dan warna yang berbeza digunakan.

Sejak itu, ianya mula berkembang mengikut peredaran masa dan dikenali sebagai Seni Abstrak lalu mencetuskan satu fenomena dalam penghasilan karya seni tampak dan seni sentuhan.

Begitulah secara ringkas bermulanya sejarah seni abstrak mengikut pemahaman aku. Agak lama menyepikan diri dari melukis dan berkarya, aku ingin kembali semula dari arus sedar aku dan meneroka ke alam sendiri yang tidak aku nafikan punyai sesuatu yang belum sempat aku temui. InsyaAllah.. aku akan mulakan dalam waktu yang terdekat ini. Mungkin dengan kembalinya aku ke fasa pertama berkarya dengan lebih serius dan bercoretkan fakta ilusi aku dapat mencipta satu dunia sendiri yang telah lama aku abaikan kewujudannya. Dalam diri ini terasa sesak dan sengkak dengan pelbagai simpanan emosi yang aku sendiri nanti-nantikan saat dizahirkan ke ruang realiti. Akan aku ceritakan di dinding kanvas untuk tatapan manusia luar bukan untuk membingungkan tetapi melakar rasa emosi dalam diri seorang aku sebagai satu taktis mengajak manusia luar memahami dan berfikir bersama aku.

Sampai di sini dulu tinta pemikir.. Salam..