Monday, May 23, 2011

Tinta Pertama

Salam perkenalan kepada anda. Sebelum aku memulakan karangan, izinkan aku perkenalkan diri. Nama Intan Shuhada Azmi, tak ada yang istimewa tentang latar belakangku. Aku cuma sabahagian dari mereka-mereka yang rata-rata punyai misi tersendiri dalam menjalani kehidupan yang telah diaturkan. Tidak bertujuan mengklasifikasikan kedudukan diri aku dalam masyarakat, aku hanyalah seorang pemikir biasa yang gemar menjadi pemerhati dan pengkaji tak bertauliah.

Oleh kerana minat aku yang mendalam terhadap seni tampak sejak kecil, sebagai tinta pertama aku, biarlah aku coretkan serba sedikit tentang sejarah ataupun bermulanya salah satu cabang seni tampak iaitu Seni Abstrak. Ini adalah sebahagian berdasarkan daripada pemahaman aku sendiri bersumberkan bahan bacaan dan rujukan sebelum ini.

Secara teori historikalnya, bermulanya Seni Abstrak ketika zaman purbakala lagi. Manusia di zaman batu yang diketahui mendiami gua-gua cenderung menjadikan dinding gua sebagai kanvas ilham pada mulanya sebagai catatan bagi sesuatu peristiwa ataupun menggambarkan tentang kegiatan biasa mereka di zaman tersebut. Maka berderetlah imej-imej binatang, tumbuhan, orang-orangan yang secara ilmiahnya tidak 100% menunjukkan bentuk asal yang ingin ditampilkan. Imej yang dihasilkan lebih mudah dan telus yang rata-ratanya dapat difahami bagi sesiapa yang melihat. Dari situ juga kita di zaman kini dapat mengetahui dan memahami akan peredaran dan kebiasaan mereka di zaman dahulu.

Bermula dari kebiasaan untuk mencatatkan sesuatu peristiwa, habitual melukis dan ada satu ketika menggunakan teknik meletakkan tapak tangan di dinding sebelum menyembur dengan kunyahan daun , kulit-kulit kayu dan batu berwarna mula menjadi satu perbuatan yang digemari dan wujudlah golongan yang diiktiraf sebagai 'pakar' melukis dinding di kalangan penghuni gua. Nilai estetika mula diterapkan dalam penghasilan lukisan dinding apabila pelbagai imej tambahan dengan terknik dan warna yang berbeza digunakan.

Sejak itu, ianya mula berkembang mengikut peredaran masa dan dikenali sebagai Seni Abstrak lalu mencetuskan satu fenomena dalam penghasilan karya seni tampak dan seni sentuhan.

Begitulah secara ringkas bermulanya sejarah seni abstrak mengikut pemahaman aku. Agak lama menyepikan diri dari melukis dan berkarya, aku ingin kembali semula dari arus sedar aku dan meneroka ke alam sendiri yang tidak aku nafikan punyai sesuatu yang belum sempat aku temui. InsyaAllah.. aku akan mulakan dalam waktu yang terdekat ini. Mungkin dengan kembalinya aku ke fasa pertama berkarya dengan lebih serius dan bercoretkan fakta ilusi aku dapat mencipta satu dunia sendiri yang telah lama aku abaikan kewujudannya. Dalam diri ini terasa sesak dan sengkak dengan pelbagai simpanan emosi yang aku sendiri nanti-nantikan saat dizahirkan ke ruang realiti. Akan aku ceritakan di dinding kanvas untuk tatapan manusia luar bukan untuk membingungkan tetapi melakar rasa emosi dalam diri seorang aku sebagai satu taktis mengajak manusia luar memahami dan berfikir bersama aku.

Sampai di sini dulu tinta pemikir.. Salam..